Tuesday, March 1, 2011

najwa qalbi

Ya Allah, aku menunggu-nunggu saat ini ya Allah. Bila mana, aku meredhoi segala macam pemberianMu, ketentuanMu atasku. Saat emosi diusik gratisan muzik yang tersusun rapi, bersuara hatiku perlahan-lahan menyatakan apa yang terpendam jauh dalam dasar hati. Entah, terlalu lama tak keluar, sehingga pedih teramat bila ia kembali bersuara, dan tak kering-kering air mata ini mengalir,. Mungkin sudah terlalu lama ia menyepi, terpinggir, tersungkur dibawa hanyut hal duniawi. Aku harus terima, terima, dan terus menghargai diriku. Biarlah seteruk mana, aku tetap aku. Ini ketentuan Tuhan untukku. Ada lagi yang perlu untuk ku pelajari, dan masih lagi kaki ini harus melangkah dengan azam yang padu untuk menjadi yang lebih baik. Setiap hari yang terbaik.
Oh Tuhan, mungkin pandangan dari luar, menyangka aku insan yang kuat. Insan yang matang. Walhal, itu hanya luaran. Dalamanku ini ibarat kaca yang rapuh, yang entah bila2 masa ia boleh pecah. Belum lagi ku memiliki hati sekuat batu permata. Yang terjaga dari kotoran dan campuran bendasing . Hati yang tulen dengan akidah yang sebenarnya. Aku perlu belajar. Fokusku selama ini telah makin malap. Malap, malap dan malap. Mujur masih ada berbaki tempoh itu, tempoh sebelum ianya terpadam. Masih lagi menyala sinar keimanan. Cuma kadang-kadang ia mengecil dan tak kurang juga besar nyalaannya. Alhamdulillah..
Ya Allah, bukakan hatiku seluas-luasnya untuk menerima ma’rifat tentangMu, mengenal hikmah nikmat dan ujianMu. Sungguh indah ciptaanMu. Benar-benar hatiku terusik mengenang keagungan dan kebesaranMu. Rupanya sekian lama hati ini separuh sedar. Kadang-kadang ianya terjaga. Bangunlah wahai imanku! Bangun! Di hadapanmu ada ujian nak bertamu! Sudah cukupkah sabarmu? Bagaimana pula redhamu? Allah pula ada di mana? Di luarkah? Atau masih tersemat di sisimu? Wahai iman, jadilah sahabat karibku. Nafsu telah lama mengajakku ke arah yang serong. Di mana kamu untuk kembali meluruskan pandangan hati dan hidupku?
Ya Robb, aku telah mencari, Kau sahaja yang setia. Hampaku, dukaku, kecewaku, Kau yang ubatkan. Tetapi aku tak sedari sejak dulu. Mata hatiku pudar, ya Allah. Terangkanlah ya Allah. Ibadahku sedikit, entah mana yang sempurna. Apakah Kau menolak semuanya, lantaran khusyu’ ku entah ke mana? Tawadhu’ku tidak hadir bersama. Ihsanku langsung lari. Ahh, sungguh bertuah jika menjadi hamba yang Kau cintai, pasti Kau jaga dan Rahmati. Bagaimana pula aku wahai Tuhan? Aku selalu saja terlupakan Kau. Membelakangkan Engkau tanpa sedar mahupun sedar. Ah…lekanya aku! Darahku, yang mengalir dalam jasadku, daging dan tulang-tulangku, apakah benar-benar dari sumber yang Kau halalkan? Wang dan hartaku, sering kali aku khuatiri sumbernya. Halalkah? Haramkah? Syubhahkah? Tempat tidurku, istirehatku, belajarku, apakah dari sudut yang halal lagi baik di sisiMu? Bersihkan aku ya Allah. Bersihkan aku dari segala kekotoran zahir dan batin.
Tiada yang mampu lagi bibir ini mampu berbicara. Hanya kalimah istighfar dan syahadah yang meniti di bibir ini. Jari-jari yang menari-nari menaip bait-bait kata juga sudah mahu berehat. Maha SuciMu ya Allah. Biarlah tercampak mana sekalipun aku di bumiMu ini, tapi jangan kau campakkan aku jauh dari iman, islam dan ihsan. Dekatkan aku dengan taqwa. Intimkan aku dengan ihsan. Akrabkan aku dengan iman sehingga tak ada yang lain lebih dekat dengan ku melainkan iman, ihsan, dan taqwaku padaMu. Amin, ya Allah, ya Rabbal A’lamin..

1 comment: